“Selesaikan segera masalah sumber bekalan air di Assan Nunggang”

Tiong ketika turun padang melawat penduduk di Assan Nunggang, Bintulu.

BINTULU, 26 Dis: Masalah sumber bekalan air bersih dan terawat yang membelengu penduduk di Assan Nunggang, Bintulu perlu tindakkan segera daripada pihak berwajib, kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

Katanya, heberapa rumah panjang di Assan Nunggang masih berhadapan dengan masalah ketiadaan bekalan air bersih dan terawat sejak dua tahun lalu selepas sistem paip air bawah tanah ke kawasan tersebut terjejas akibat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau, yang juga presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), berkata situasi mendesak itu didedahkan selepas lawatan turun padang beliau ke beberapa buah rumah panjang di kawasan tersebut.


Katanya, sejurus dimaklumkan mengenai perkara itu, beliau segera menghubungi pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk mengatur pertemuan  bagi membincang sekali gus mencari jalan penyelesaian.

“Terdapat rumah panjang yang tidak mendapat keperluan asas ini hingga dua tahun dan ini menyukarkan penduduk untuk meneruskan rutin harian seperti memasak, mencuci pakian dan sebagainya.

“Saya dimaklumkan bahawa penduduk telah banyak kali mengadu kepada pihak JBALB mengenai perkara ini, tetapi pihak berkenaan memaklumkan Projek Pan Borneo mempengaruhi sistem paip air bawah tanah ke kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiong berkata, alasan tersebut merupakan satu alasan yang tidak logik untuk diberikan sebagai alasan untuk masalah bekalan air di kawasan tersebut.

Keadaan beberapa rumah panjang di kawasan Assan Nunggang yang agak daif dan perlu diperbaiki.

“Jika saya ingat dengan betul, kerajaan persekutuan sebelumnya telah memperuntukkan RM1 bilion untuk membiayai penempatan semula paip air bawah tanah.

“Sekiranya Projek Pan Borneo tidak siap dalam sehari, berapa lama penduduk terpaksa berdepan dengan masalah tiada bekalan air ini dan ini agak keterlaluan,” ujarnya.

Beliau turut mendapati terdapat isi rumah yang terpaksa mengumpul air hujan menggunakan besen besar atau membeli air mineral bagi kegunaan memasak dan minum selain mandi di sungai untuk menjimatkan air.

“Sebenarnya terdapat kira-kira 200 rumah panjang di kawasan ini tetapi terdapat sekitar 100 rumah panjang yang tidak ada dalam senarai pendaftaran pejabat daerah, yang mengakibatkan kehilangan hak dan kepentingan.

“Ini menyebabkan rumah panjang terlibat tidak dapat memohon dana bagi tujuan memaik taraf rumah panjang mereka,” katanya

Justeru, Tiong menyarankan agar penduduk terbabit segera mendaftarkan rumah panjang mereka di Pejabat Daerah bagi membantu dalam mendapatkan bantuan pemohonan dana daripada pihak berwajib.

Tiong turut menerangkan bahawa rumah panjang yang kurang daripada sepuluh pintu juga layak membuka akaun dan seterusnya menerima dana berkaitan.

Penduduk di Assan Nunggang terpaksa mengumpul air hujan menggunakan besen besar bagi kegunaan harian.

Beliau dalam pada itu turut tidak menafikan sistem data atau profil rumah yang tidak dikemaskini secara berkala menjadi antara punca mempengaruhi ketidaktepatan kerajaan Sarawak dalam mengagihkan peruntukan atau dana yang relevan.

“Projek naik taraf rumah panjang yang terbengkalai secara tidak langsung menjejaskan persekitaran tempat tinggal dan keselamatan penduduk.

“Pada masa yang sama, saya berharap agar semua pegawai kerajaan segera memperbaiki sikap kerja mereka dengan tidak mencari jasa, sebaliknya, hanya elakkan kesalahan atau kesilapan.

“Tetapkan syarat prestasi di unit yang anda layani, dan anda mesti secara aktif mengunjungi penduduk pada hari kerja untuk memahami isu-isu tempatan, jika tidak, perasaan banyak orang akan diabaikan dan pembangunan tempatan akan turut tersekat,” tambahnya.