Sekolah vokasional-teknik dirancang diwujudkan di Bau

Abang Johari dan Henry berbincang sebelum perasmian SK Suba Buan.
Advertisement

Bau, 17 Ogos: Adun Tasik Biru merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep merancang mewujudkan Sekolah Menengah Vokasional atau Teknik di Daerah Bau.

Katanya, ia bagi membantu membekalkan tenaga kerja mahir di Sarawak.

“Hasrat ini adalah untuk memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran dan pemerkasaan pembangunan bakat dan kapasiti manusia ke arah Sarawak Maju Makmur,” kata Henry.

Advertisement

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan hari ini.

Perasmian telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Selain itu tambah Henry, Daerah Bau juga merancang mewujudkan Kolej Tingkatan 6 atau penubuhan sebuah lagi Sekolah Menengah untuk menampung peningkatan jumlah pelajar.

Berhubung bangunan baharu sekolah, beliau berkata ia merupakan Projek Gantian Penuh SK Suba Buan.

Jelas Jenry, ia memiliki 18 bilik darjah dengan kemudahan-kemudahan lain dan terletak di antara Kampung Suba Bau dan Kampung Suba Buan.

“Kita berhasrat untuk menyuraikan murid daripada kampung-kampung ini dan sekitarnya ke SK Suba Buan yang baharu dan mengurangkan kesesakan di sekolah-sekolah seperti SK St. Stephen.

“Besarlah harapan saya untuk komuniti sekitar membantu meningkatkan enrolmen sekolah baharu ini.

“Dengan cara itu, Return on Investment (ROI) projek pembangunan pendidikan di daerah Bau ini dapat dioptimumkan,” kata Henry. — DayakDaily

Advertisement