SEKAT: Kongres Bahasa Kebangsaan di Kuching Februari ini ditangguh

Arun (tiga dari kiri) pada sidang media di Kuching hari ini (Feb 11, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 11: Kongres Bahasa Kebangsaan yang dijadualkan diadakan di Kuching pada Februari 16 ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Jurucakap penganjur, Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT), yang juga setiausahanya Arun Doraisamy pada sidang media yang diadakan berkata, penangguhan adalah disebabkan penularan wabak koronavirus.


“Kita menerima nasihat dari Pejabat Ketua Menteri untuk menangguhkan kongres akibat penularan wabak koronavirus.

“Ini disebabkan kongres bakal disertai lebih 1,200 peserta dan Sarawak memandang serius isu ini dengan menyekat kemasukkan warga China selain telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang lain.

“Kita tidak mahu menjejaskan usaha-usaha kerajaan Sarawak dan menerima nasihat mereka dengan menangguhkan kongres sehingga isu ini reda,” katanya dalam persidangan media di Pustaka Negeri Sarawak hari ini.

Terdahulu Arun bersama rombongannya mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia.

Kunjungan tersebut membincangkan isu-isu berkaitan pendidikan di Sarawak termasuk pelaksanaan pembelajaran khat jawi di sekolah.

Menurut Arun, Abang Johari mempunyai pendirian yang terbuka berhubung isu khat jawi dan mahukan pembelajaran tersebut sebagai satu pilihan.

“Abang Johari berfikiran global. Beliau lebih berminat kepada sekolah antarabangsa dan ekonomi digital selain ingin melihat pelajar boleh bersaing di arena antarabangsa dan bukan menjadi jaguh kampung,” katanya.

Disamping itu, Arun juga memaklumkan bahawa SEKAT berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan.

Katanya, perbincangan perlu diadakan dengan Dr Mahathir berhubung pelaksanaan khat jawi di dalam sistem pelajaran.

“Mandat kementerian pendidikan Malaysia ada pada Tun (Dr Mahathir) dan beliau harus memanggil semua pihak berkepentingan iaitu Sabah, Sarawak, Melayu, Cina dan India ke meja perbincangan.

“Ini untuk membincangkan semula tatacara pengenalan khat jawi yang lebih diterima,lebih mantap dan lebih waras.

“Kita tak boleh terima cadangan yang memaksa sesiapa untuk mengambil pendidikan ini, mesti ada pilihan,” katanya.

Turut Hadir Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembelajaran Jawi Kuala Lumpur dan Selangor Eddie Heng dan Presiden Sarawak Asssocation for Peoples’ Aspiration (SAPA) Dominique Ng. — DayakDaily