Sediakan insentif untuk kembangkan industri lada

Datuk Willie Mongin

KUCHING, 1 Mac: Kerajaan harus menyediakan geran dan insentif kepada pihak swasta untuk terus memperkembangkan industri lada, kata Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Willie berkata, insentif berkaitan boleh membantu pihak swasta untuk berkecimpung dalam industri tersebut secara besar-besaran.

“Negara kita pernah menjadi pengeluar lada terbesar dunia, namun pada hari ini kita jatuh ke tangga kelima.


“Rombakan dan strategi baharu perlu diperkenalkan dengan segara agar industri ini berkembang semula kerana lada Sarawak merupakan lada terbaik di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Belanjawan 2023 dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Datuk Willie turut berharap agar kawasan Sabah dan Sarawak terus mendapat projek-projek pembangunan untuk memajukan lagi kedua-dua negeri.

“Ini termasuk kawasan saya di Parlimen Puncak Borneo,” tambahnya lagi. — DayakDaily