Sedar biaya deposit RM8,000 untuk calon PRN12

Dato Othman Abdillah

KUCHING, 21 Nov: Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) akan membiayai deposit pilihan raya calon-calonnya berjumlah RM8,000 seorang.

Jumlah ini terdiri daripada Deposit Pilihan Raya sebanyak RM5,000 dan Deposit Bahan Kempen Pilihan Raya sebanyak RM3,000 untuk setiap orang calon.

Presidennya Dato Othman Abdillah berkata keputusan ini diambil selepas mendapati ramai daripada mereka yang berminat untuk menjadi calon tidak mempunyai keupayaan membiayai diri mereka sendiri untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang akan datang walaupun mereka layak dan berpotensi besar.


“Sedar juga sedang mencari tambahan kepada bakal-bakal calon berpotensi bagi membolehkan pemilihan perwakilan yang komited dan berwibawa untuk bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Oleh itu, mereka yang berminat untuk menampil diri menjadi calon Sedar dijemput untuk menghubungi Sekretariat Pemilihan Calon di nombor-nombor telefon 019-8503341, 013-3907112 dan 011-25106307 atau email kepada partisedar2019@gmail.com,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memberitahu bahawa Sedar percaya atas kekuatan tersendiri dengan fokus dasar terhadap hak rakyat untuk menerima dividen daripada kekayaan Sarawak dan perancangan sosio-ekonomi yang menyasarkan pencapaian kemakmuran yang saksama.

“Justeru, Sedar tidak akan bersekutu dengan parti lain pada pilihan raya akan datang,” ujarnya. — DayakDaily