MIRI, 8 Ogos: Sebuah rumah di Kampung Lajong, Kuala Niah di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.05 malam.
Beberapa anggota diketuai Francis Aceh Angai dari Balai Bomba Batu Niah terus bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai dan tiba pada jam 10.10 malam.
Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal.
Pasukan bomba menggunakan sumber air dari sungai kemudian melakukan pemadaman dan berjaya mengawal api sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam pada jam 12.17 tengah malam.
Tiga penghuni rumah yang berada di dalam rumah semasa kejadian berjaya menyelamatkan diri.
Menurut saksi, kebakaran bermula dari tingkat atas dan kemudian merebak dengan pantas memusnahkan keseluruhan rumah tersebut.
Sebanyak enam buah motosikal yang diletakkan di bawah rumah juga dilaporkan terbakar.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily