Sebuah rumah di Kampung Seberang Sarikei musnah terbakar

Keadaan rumah yang terbakar.

SARIKEI, 25 Nov: Sebuah rumah di Jalan Exora, Kampung Seberang Sarikei, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.55 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlakunya kebakaran sebuah rumah dua tingkat.

“Anggota bomba yang turut dibantu oleh anggota dari BBP Bintangor berjaya mengawal kebakaran pada jam 2.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Difahamkan seramai lima penghuni rumah berada di rumah semasa kejadian, manakala yang lain keluar bekerja.

“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.

Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 4.35 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily