LIMBANG, Dis 27: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Batu Bakarang di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal telah musnah terbakar 100 peratus.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.13 petang.
Katanya, sejurus menerima laporan insiden, sepasukan sembilan anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman tersebut.
“Api cepat marak disebabkan struktur kediaman tersebut diperbuat daripada kayu dan papan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut,Tiong berkata tindakan pihak bomba adalah membuat pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan sumber air dari pili bomba dan seterusnya membuat ‘overhaul’ bagi memastikan tiada unsur-unsur api marak semula.
Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana tiada penghuni berada di kediaman berkenaan semasa kejadian.
“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya lagi. — DayakDaily