Sebuah keluarga terjejas akibat kebakaran

Kelihatan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal.

Oleh Dean Adam

MUKAH, Sept 4: Sebuah keluarga terjejas selepas kediaman mereka di Kampung Kuala Tengah Oya terbakar petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu mengakibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal terbakar 100 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kebakaran tersebut juga mengakibatkan sebuah lagi rumah konkrit milik keluarga sama terbakar di bahagian bumbung dan sedikit bahagian dindingnya.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 3.38 petang.

“Sejurus itu sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kebakaran bukannya hanya bahagian dapur tetapi melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

Jelasnya, api berjaya dikawal pada pukul 4.18 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily