Sebuah keluarga hilang tempat tinggal, rumah musnah terbakar

Keadaan api yang marak membakar sebuah rumah di Kampung Sungai Endot, Kabong.
Advertisement

KABONG, April 14: Sebuah keluarga hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka di Kampung Sungai Endot di sini musnah terbakar dalam satu kejadian malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 malam itu, sebuah rumah dua tingkat berstruktur jenis tidak kekal tersebut telah terbakar 100 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.28 malam.

Advertisement

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bomba kemudian dikerahkan ke kampung tersebut untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman berkenaan.

“Api cepat merebak kerana struktur rumah itu diperbuat daripada kayu dan kepingan papan yang mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.06 pagi.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

“Tiada mangsa terbabit dalam kebakaran tersebut” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement