Tempat menunggu di luar sekolah runtuh, empat pelajar cedera

Anggota APM membantu pelajar yang cedera.

MIRI, April 14: Empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri di sini cedera selepas satu tempat menunggu di luar sekolah berkenaan runtuh dalam kejadian petang semalam.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6.20 petang ketika pelajar sedang menunggu ibu bapa mereka untuk pulang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapt. (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.22 petang.

Jelasnya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Miri dikerahkan ke lokasi untuk melakukan tindakan susulan.

Kelihatan kawasan menunggu yang runtuh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan APM mendapati terdapat satu kawasan menunggu di luar sekolah di situ runtuh.


“Pelajar sekolah yang cedera telah dibantu oleh orang awam sebelum pasukan APM tiba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hazle menambah, anggota APM kemudian membuat rawatan awal dengan memeriksa keadaan pelajar yang cedera.

Katanya, empat mangsa kemudian dimasukkan ke dalam ambulan untuk dihantar ke Hospital Miri.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.20 malam selepas pasukan APM menyerahkan mangsa kepada petugas hospital,” ujarnya lagi. — DayakDaily