Oleh Dean Adam
MIRI, Jan 19: Sebuah keluarga di Kampung Tudan Phase 2 di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar, lewat petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.42 petang itu telah mengakibatkan sebuah rumah struktur separuh kekal telah terbakar kira-kira 90 peratus.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata kebakaran sama juga telah mengakibatkan sebuah kereta jenis Daihatsu Charade milik keluarga tersebut terbakar 100 peratus.
Katanya, sebelum itu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 5.44 petang.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan, namun semua penghuni kediaman itu berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, kejadian sama juga tidak melibatkan sebarang kecederaan.
“Buat masa ini, kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan,” katanya. — DayakDaily