Dua rumah terjejas akibat kebakaran

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 19: Dua buah rumah di Jalan Ketitir, Batu Kawa di sini terjejas akibat kejadian kebakaran hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu mengakibatkan, sebuah rumah musnah terbakar 100 peratus, manakala, sebuah lagi terbakar kira-kira 50 peratus.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 9.07 pagi.

Jelasnya, 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Padungan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.
Keadaan dalam salah sebuah rumah yang terbakar.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan dan operasi memadam kebakaran segera dilaksanakan bagi memastikan api tidak merebak ke kediaman lain,” ujarnya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, bagaimanapun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dalam kebakaran tersebut.

Katanya, kebakaran terkawal sepenuhnya pada pukul 10.38 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih dalam proses siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily