Sebuah keluarga hilang tempat berteduh akibat kebakaran di Mukah

Kebakaran yang memusnahkan rumah sebuah keluarga di Kampung Matadeng, Jalan Mukah-Balingian.

MUKAH, 17 Mei: Sebuah keluarga hilang tempat berteduh apabila rumah yang didiami mereka di Kampung Matadeng, Jalan Mukah-Balingian musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 9.30 pagi.

“Bertindak kepada laporan tersebut, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.


“Bagaimanapun, api marak dengan cepat dan keseluruhan rumah dua tingkat jenis kekal itu telah terbakar dan musnah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penghuni rumah yang terdiri daripada sebuah keluarga iaitu seorang lelaki dan wanita dewasa bersama dua kanak-kanak berjaya menyelamat diri.

Difahamkan, keluarga malang tersebut buat masa ini dikatakan terpaksa menumpang di rumah saudara mara.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. — DayakDaily