Sebuah gereja akan akan dibina di Ulu Gedong – Naroden

Naroden (dua kanan) menyambut tahun Baru bersama masyarakat di Simbau Rumbau, Gedong, baru-baru ini.

Oleh Roslan Mutu

KUCHING, 2 Jan: Sebuah gereja akan dibina di Ulu Gedong dalam masa terdekat bagi kegunaan dan pusat aktiviti penganut agama Kristian di kawasan tersebut.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana E-Dagang, Datuk Naroden Majais, berkata tempat beribadah bagi semua agama adalah penting dan kerajaan negeri berhasrat untuk menyediakan tempat beribadah yang selesa bagi semua penganut agama, baik Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.


“Namun begitu, kita menyarankan kepada semua pemimpin agama Kristian di kawasan Ulu Gedong untuk duduk berbincang dan mengenalpasti lokasi yang paling strategik untuk pembinaan gereja tersebut,” kata beliau.

Naroden, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Menyambut Tahun Baru 2019 Peringkat Ulu Gedong di Sibau Rumbau.

“Kerajaan akan membantu untuk mendapatkan tanah bagi pembinaan gereja berkenaan dan saya akan memyediakan sedikit dari peruntukan dari Rural Transformation Programme (RTP) saya bagi projek tersebut dan jika ianya masih berkurangan, kita akan berusaha untik mencari dana yang lebih.

“Seboleh-bolehnya, kita cari tanah yang berdekatan dengan jalan agar ianya mudah bagi penganut Agama Kristian untuk mengunjungi gereja model tersebut,” ujar beliau.

“Kerajaan Sarawak berlaku adil kepada semua agama dan saya sendiri, bukanlah hanya seorang wakil rakyat untuk kaum Melayu sahaja, saya adalah wakil rakyat untuk semua kaum dari kepelbagaian agama di DUN Gedong,” tambahnya lagi. — DayakDaily