Azam 2019: Ahli parlimen Sibuti tekad menyediakan lebih banyak jalan berturap

Lukanisman Awang Sauni

KUCHING, 2 Jan: Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berazam untuk menyediakan lebih banyak jalan berturap kepada penduduk di kawasannya tahun ini.

Di dalam ucapan tahun baru 2019 yang disiarkan di laman Facebooknya semalam, beliau menyatakan hasrat untuk terus memperhebatkan lagi pembangunan infrastruktur di kawasan Sibuti terutamanya keperluan jalan berturap.

“Antara jalan yang saya harap akan diturap sepenuhnya di Parlimen Sabuti termasuk jalan ke Kuala Lajong, Jalan Kampung Muhibbah, jalan di sekitar Lusut, Kampung Kemiding, Kelitang, Sungai Kara, Bekelit dan jalan ke rumah Lagan,” katanya.


Disamping itu, beliau juga berazam memastikan kawasan Saeh dan Skim Sepupok yang baru siap jalan berturapnya akan mendapat penyeliaan dan penyelangaraan.

Sehubungan itu, Lukanisman menegaskan tidak akan menghiraukan pelbagai komen negatif dan penghinaan terhadapnya sebagai wakil rakyat terutama di laman sosial kerana mahu berkhidmat lebih baik pada 2019.

Ini terutama komennya berkaitan dengan masalah dadah di kawasan terbabit yang telah disiarkan sebuah akhbar tempatan baharu-baharu ini.

“Saya tidak memuktamadkan jalan berturap sebagai punca segalanya. Ada yang mengatakan saya menolak jalan kampung dibina,” katanya, sambil menjelaskan ada pelbagai punca lain yang menyumbang kepada masalah dadah.

Selain itu, dalam tempoh 10 tahun keluar masuk kampung di sekitar Sibuti, beliau sudah merasai perubahan masalah gejala dadah kawasan parlimen itu dan melahirkan rasa khuatir golongan pelajar juga mungkin terbabit dengan gejala tidak sihat itu.

“Dulu kurang kita dapati pelajar positif dadah tapi kini kalau tidak 10, pasti belasan pelajar didapati positif,” ujarnya.

Beliau sehubungan itu berharap kerajaan pusat yang baru dapat mewujudkan mekanisma memperbetulkan keadaan terbabit kerana khuatir sistem sedia ada akan gagal menjadikan negara ini bebas dadah. — DayakDaily