Sebuah ambulans terbalik, tiga mangsa cedera

Kelihatan sebuah ambulans dalam keadaan terbalik selepas terlibat kemalangan.
Advertisement

SIBU, Sept 28: Empat individu, iaitu pemandu, jururawat, pesakit dan ibu kepada pesakit, nyaris maut apabila ambulans yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbalik di Batu 6, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.58 petang itu mengakibatkan tiga individu cedera, manakala pemandu ambulans berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Perhubungan Awam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Hafizul Samah, berkata pihak APM Sibu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 1.59 petang.

Advertisement

Katanya, sepasukan tiga anggota APM Sibu kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan operasi susulan.

“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 2.19 petang, anggota APM mendapati sebuah ambulans dalam keadaan terbalik.

“Pemeriksaan mendapati kesemua mangsa yang terlibat selamat dan ada yang mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Hafizul menambah, siasatan awal mendapati sebelum kejadian ambulans yang membawa seorang pesakit yang ditemani ibunya itu sedang dalam perjalanan dari arah Hospital Mukah ke Hospital Sibu.

Katanya, mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.43 petang selepas ketiga-tiga mangsa dibawa ke hospital,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement