Sebanyak 219 projek bekalan air siap dilaksanakan di seluruh Sarawak

Dr Abdul Rahman (tiga dari kiri) merasmikan Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan.

KUCHING, 14 Nov: Sebanyak 219 projek bekalan air telah berjaya disiapkan di seluruh Sarawak, kata Menteri Utiliti Dan Komunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurut beliau, kerajaan telah mengenal pasti 297 projek bekalan air jangka pendek yang melibatkan peruntukan RM4 bilion.

“Pelaksanaan 297 Projek Rakyat yang telah bermula sejak tahun 2018 adalah merupakan pelan tindakan segera oleh pihak Kerajaan dalam menangani isu bekalan air di beberapa kawasan yang dikategorikan sebagai ‘stressed areas’


“Setakat ini, sebanyak 219 projek bekalan air telah berjaya disiapkan di seluruh Sarawak, sebanyak 69 projek masih dalam peringkat pembinaan, manakala baki 9 projek masih dalam fasa perancangan,” katanya.

Dr Abdul Rahman berkata demikian di Perasmian Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan di Asajaya hari ini.

Tambah beliau, peruntukan RM4 bilion itu membabitkan perlaksanaan projek-projek berkaitan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik, penukaran paip, serta inisiatif pemodenan dan bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

Samarahan dalam pada itu katanya adalah antara bahagian yang bakal menyaksikan suatu perubahan besar dalam penyelesaian kemelut bekalan air bersih dan terawat yang sering dialami oleh penduduk selama ini.

Ini apabila pelaksanaan 21 Projek Rakyat Bekalan Air bernilai sekitar RM450 juta dari Kota Samarahan ke Sebuyau dan Simunjan siap sepenuhnya menjelang tahun 2023.

“Ini akan memberi signifikan impak kepada lebih 85,000 penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan,” ujar Dr Abdul Rahman. — DayakDaily