JULAU, 27 Jan: Berlaku kejadian tanah runtuh berdekatan Rumah Wong Changgan Nanga Luau, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung runtuhan tersebut pada kam 3.40 petang.
Bertindak kepada laporan tersebut, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi mengesahkan memang benar berlaku runtuhan tanah di tepi jalan masuk menuju ke rumah panjang dan anggaran runtuhan adalah 15 meter dan terdapat dua tiang elektrik.
“Pihak Bomba telah memasang sawar-sawar pada kawasan tersebut dan menasihati penduduk berdekatan supaya berjaga-jaga semasa melalui jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amaran runtuhan mungkin akan berlaku lagi juga sudah dikeluarkan kepada penduduk setempat dan pihak yang berkenaan.
“Runtuhan mungkin akan berlaku semula jika hujan lebat turun kerana terdapat kesan rekahan yang berisiko runtuh,” katanya. — DayakDaily