Lelaki warga asing cedera di pinggang dan kaki selepas jatuh dalam parit di Bintulu

Mangsa dibantu pasukan penyelamat.

BINTULU, 27 Jan: Seorang lelaki warga Indonesia mengalami kecederaan selepas terjatuh ke dalam parit di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam parit tersebut sekitar jam 4 petang.

Katanya, pasukan Bomba dihubungi selepas itu untuk bantuan mengangkat mangsa.


“Setiba pasukan Bomba di lokasi, didapati mangsa masih tertiarap dan dia mengadu mengalami kecederaan di pinggang dan kebas kaki kanan sehingga menyukarkan dia berdiri.

“Pasukan Bomba membantu mengangkat mangsa yang kemudian diserahkan kepada pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa berusia sekitar 40an itu kemudian diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital.

Operasi menyelamat oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Eric Wilson tamat sepenuhnya pada jam 5.16 petang. — DayakDaily