SDSI 2019 dijangka menarik 50,000 pengunjung dan 3,000 penyertaan usahawan

Entrepreneurship. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 23 Ogos: Seramai 50,000 pengunjung dan lebih 3,000 usahawan pelbagai sektor dijangka akan menghadiri Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional sempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 yang akan berlangsung pada 29 Ogos hingga 1 September ini.

Menurun siaran media daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak hari ini, program yang akan diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor adalah susulan pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 pada 11 Julai lalu.

“Tumpuan utama MUN menerusi Program SDSI adalah memberi fokus kepada usahawan dari seluruh negara yang merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inap desa, produk kraf, produk dan perkhidmatan kesihatan serta inovasi.

“Objektif Program SDSI ini adalah bagi menyediakan platform kepada pada usahawan dan koperasi untuk memperkenal, mempromosi dan memartabatkan produk serta perkhidmatan usahawan SDSI seluruh negara di bawah satu program,” menurut kenyataan tersebut.

Program SDSI melibatkan 330 para usahawan dan koperasi terpilih dari seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan untuk kali pertama yang menampilkan konsep pavilion negeri bagi memaparkan keunikan dan keistimewaan identiti negeri masing-masing yang bertemakan Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Selain itu, penyediaan makanan tradisional negeri-negeri turut diadakan melalui Pameran Malaysia Kitchen. Para usahawan dan pengunjung juga berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut program pembangunan kapasiti SDSI menerusi Pameran Success Story yang dikendalikan oleh kementerian dan agensi terlibat, ia berkata.

Antara pengisian lain untuk menarik kehadiran para pengunjung seperti sesi motivasi, Rakyat Run, Jualan Harga Patut, Arnab Festival, business matching, Women Entrepreneurship (WE) Convention dan banyak lagi.

Bagi penyertaan khususnya para usahawan Sarawak dalam Program SDSI ini, ia melibatkan 36 usahawan yang meliputi empat kluster iaitu makanan dan minuman (24), produk kraf (7), inap desa (2) dan perkhidmatan dan kesihatan (3).

Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan (MIED) Sarawak pula bertindak sebagai penyelaras bagi semua agensi dari Negeri Sarawak yang melibatkan penyertaan rakan kerjasama seperti Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak, Unit Perancang Negeri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak dan Jabatan Pertanian Sarawak.

Majlis perasmian Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 Ogos, 2019. — DayakDaily