Ambil peluang perkasakan diri dengan ekonomi digital — Fazzrudin

Peserta kursus dan tetamu mengambil bahagian bergambar dengan Fazzrudin (berdiri tengah, baris kedua) selepas acara selesai.

KUCHING, 24 Ogos: Dalam dunia yang serba maju dan moden ini, tidak dapat dinafikan kepentingan internet dalam semua aspek kehidupan termasuk mempromosikan perniagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menyarankan usahawan untuk menjinakkan diri mereka dengan teknologi maklumat dan internet sebagai medium untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan perniagaan.

“Sebab itulah ketua menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selama ini telah memberi penekanan ke atas ekonomi digital kepada Sarawak.


“Bukan sahaja ianya memudahkan rakyat dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan perniagaan mereka, malah ianya adalah lebih efisyen dari cara-cara konvensional yang lain,” kata beliau ketika merasmikan Kursus Promosi Melalui YouTube yang berlangsung di SEDC, di sini, hari ini.

Fazzrudin mengingatkan peserta agar memperkasakan diri dengan pengetahuan ekonomi digital supaya mempunyai sikap daya saing yang kompetitif dalam perniagaan mereka.

“Ambil peluang ini dengan menimba ilmu sebegini supaya memperkasakan diri kerana menerusi internet, kita dapat menyebarkan makluman mengenai peniagaan kita dengan lebih luas lagi,” kata beliau.

Kursus dua hari anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak bersama Nonakraf Creative dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) itu disertai lebih 50 peserta. — DayakDaily