Saya tidak takut Undi18, kata Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 31 OKT: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) mempunyai perancangan jangka panjang untuk generasi muda di negeri ini, kata ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Justeru menurut beliau, tiada alasan bagi GPS untuk takut kepada pelaksanaan Undi18 seperti yang diwar-warkan sesetengah pihak.

Advertisement

“Ada orang kata bahawa GPS takut Undi18, saya tidak takut kerana apa yang kita rancang sekarang adalah untuk orang muda.

“Seperti saya berumur 70 tahun sekarang, dalam tempoh 10 tahun lagi akan meningkat 80 tahun dan waktu itu sudah tidak bekerja lagi.

“Tetapi mereka yang muda berumur 20 tahun, keluar universiti umur 21 tahun dan dalam tempoh 10 tahun akan datang umur sudah 31 tahun. Itulah peringkat umur terbaik bagi mereka meneruskan apa yang kita bangun dan rancang hari ini,” katanya.

Abang Johari berkata demikian Majlis Pelancaran Sarawak Linking Urban, Rural And Nation(SALURAN MYSRBN) di Trusan, Lawas hari ini.

Tambah beliau, generasi muda mahu kerajaan menyediakan satu dasar yang membawa kebaikan bagi tempoh panjang kepada mereka.

Justeru katanya, misi kerajaan untuk menjadi Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi adalah bersesuaian dengan kehendak generasi muda.

“Anak kita dapat bekerja sesuai dengan tahap ekonomi yang kita tingkatkan. Kalau ekonomi kita masih di bawah, mereka tidak dapat bekerja dan akan ke tempat lain untuk mencari pekerjaan.

“Kalau ekonomi kita tinggi, latihan serta pengetahuan mereka di dalam pelbagai bidang seperti digital dapat dibawa balik untuk membangunkan negeri,” kata Abang Johari.

Semalam pada satu majlis di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Undi18 akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun hadapan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Katanya, Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September tahun hadapan.

“Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.

“Tidak merayu bermakna keputusan kekal, bermakna tarikh akhir 31 Disember (untuk laksanakan Undi18), dan 1 Januari bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya. — DayakDaily

Datuk Patinggi abang Johari Tun Openg

Advertisement