Abang Johari: Sarawak rancang sedia kemudahan satelit SRBN di 150 kawasan

Abang Johari di Majlis Pelancaran SALURAN MYSRBN di Trusan, Lawas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 31 OKT: Kerajaan Sarawak akan mengenal pasti 150 lagi kawasan untuk disediakan dengan kemudahan perhubungan satelit yang dikenali sebagai Sarawak Linking Urban, Rural And Nation (SALURAN MYSRBN).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) bagi memberi kemudahan internet kepada rakyat khususnya di luar bandar.

Katanya, ia merupakan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah tiada liputan internet di kawasan luar bandar walaupun wujudnya menara telekomunikasi.

“Sekarang dunia sudah luas di mana kita sudah ada teknologi. Walaupun wujudnya menara telekomunikasi, penyedia perkhidmatan internet tidak mahu datang ke luar bandar sebab tiada membawa keuntungan.

“Sebab itulah kita dapat melihat ada menara tetapi tiada kuali. Jadi saya telah berbincang dengan rakan-rakan di dalam kabinet bahawa kita mesti bantu orang kampung.

“Terpaksa kita bayar dan sekarang kita ada SRBN di mana kita menggunakan satelit untuk berhubung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran SALURAN MYSRBN di Trusan, Lawas hari ini.

Tambah Abang Johari, kerajaan GPS mesti adil kepada semua rakyat dan kemudahan internet ini harus dinikmati penduduk bandar dan luar bandar.

Walaupun kos untuk menyediakan SRBN agak tinggi katanya, keperluan penduduk luar bandar harus dipenuhi dan kerajaan tiada pilihan selain membayarnya.

“Kalau kosnya tinggi, kerajaan GPS akan bayar untuk membantu orang kampung.

“Dahulu tiada internet, tetapi sekarang semua urusan termasuk ekonomi, pembayaran bil dan sosial menggunakan internet.

“Selain itu ia juga membantu penduduk kampung untuk memasarkan produk masing-masing dan ini membantu menjana pendapatan mereka,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. — DayakDaily