PH tidak tutup kemungkinan perbincangan dengan GPS — Anwar

Anwar (tengah) pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Loke (dua kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Nov: Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menutup kemungkinan perbincangan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi pembentukan sebuah kerajaan selesai Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sebarang perbincangan berhubung perkara tersebut hanya akan berlaku selepas PRU15.

“Selepas 19 November nanti barulah hal ini berbangkit kerana kita tidak mahu dilihat sebagai mengenepikan penyertaan yang bermakna dari Sabah dan Sarawak.

“Sekarang ini kita kerja kuat untuk memastikan kemenangan calon-calon dari DAP, PKR dan Amanah, itu lebih mustahak,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selesai Pelancaran Tawaran Harapan Kepada Sarawak hari ini.

Tambah beliau yang merupakan calon Perdana Menteri PH, kerajaan yang dibentuk nanti akan menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri termasuk Sarawak.

Pada sidang media yang sama, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata PH di Semenanjung kini mendahului Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Momentum di Semenanjung kini semakin meningkat dan ini dapat dilihat dari siri jelajah Anwar terutama di kawasan majoriti Melayu.

“Pada dua hari di lepas di Kelantan sambutan sangat luar biasa. Semalam di Pahang dan di seluruh Semenanjung momentum itu sangat kuat.

“Dan kita merasakan daripada pelbagai kaji selidik, nampak bahawa PH mendahului,” ujar Loke.

Ujar beliau lagi, PH memerlukan beberapa kerusi dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan kerana jumlah kerusi dari Semenanjung belum mencukupi.

“PH memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi, oleh sebab itu kita merayu kepada pengundi-pengundi di Sarawak dan Sabah memberi sokongan kepada calon PH terutamanya di kawasan kita pernah menang.

“Kita harap rakan-rakan di Sarawak dan Sabah dapat membantu supaya PH membentuk kerajaan persekutuan pada 19 November nanti tanpa pertikaian dan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri,” kata Loke. — DayakDaily