Satu letupan berlaku di pusat komersial di Sejingkat Sentral

Gambar komposit menunjukkan keadaan di lokasi kejadian.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 19 Jun: Berlaku letupan sehingga menyebabkan kerosakkan di sebuah pusat komersil di Sejingkat Sentral, Jalan Bako, Demak Laut hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata terdahulu pihaknya menerima laporan mengatakan berlaku kebakaran di premis tersebut sekitar jam 6.48 pagi.

Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, komander melaporkan tiada kebakaran, tetapi berlaku letupan yang menyebabkan pintu bangunan kedai pecah.

“Premis yang terjejas akibat letupan tersebut adalah terdiri daripada tiga buah kedai makan serta sebuah kedai pakaian dan satu ruangan besar di Emart Supermarket,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, siasatan lanjut berhuhung letupan tersebut masih giat dijalankan.

“Kerja-kerja siasatan akan dilakukan seterusnya oleh pihak Forensik Kebakaran Zon 1 bagi mengetahui punca sebenar letupan,” katanya.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut. — DayakDaily