PBB parti inklusif — Syed Hamzah

Syed Hamzah Wan Hamid Edruce

KUCHING, 19 Jun: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Bersatu (PBB) yang baru dipilih Syed Hamzah Wan Hamid Edruce yakin PBB adalah parti yang inklusif.

“Dalam pertandingan MKT kali ini, saya merupakan calon termuda dan juga salah seorang calon bukan wakil rakyat yang menawarkan diri bertanding.

“Ia dianggap sesetengah pihak sebagai ‘melawan arus’, namun saya percaya langkah ini adalah satu testimoni kepada tahap demokrasi didalam PBB.


“Walaupun saya berada di kedudukan terakhir (16), namun ia satu kejayaan yang amat bermakna dan satu titik tolak baharu kearah mencorak PBB menjadi sebuah parti yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hamzah berharap kemenangan itu akan memberi imej positif kepada PBB kerana ia menunjukkan perwakilan-perwakilan bersikap amat terbuka kepada seorang calon baharu yang muda untuk mengisi salah satu daripada 16 kerusi ini.

Justeru katanya, sudah pasti para belia di luar sana memerhati perkembangan ini terutama ketika PBB sedang dalam proses penubuhan sayap khas untuk belia tidak lama lagi.

“Lebih manis lagi, pada hari pengumuman keputusan pertandingan MKT ini juga, pengumuman bahawa perlembagaan parti sudah dipinda untuk PBB membuka satu sayap baharu khas untuk belia 18-28 tahun.

“Persepsi anak muda sukar mendapat tempat dalam PBB kini terbukti tidak benar.

“Kita berjaya membuktikan kali ini PBB ada anak muda yang berada di barisan Ahli Majlis Tertingginya,” ujar beliau. — DayakDaily