Satu blok gerai makanan di Pasar Sungai Asap musnah terbakar

Anggota bomba sedang memadam kebakaran.

BELAGA, 27 Mac: Sebuah blok bangunan yang menempatkan gerai-gerai makanan dan minuman serta pejabat Sarawak Energy Berhad di Sungai Asap, di sini musnah dalam kebakaran.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.29 pagi.

Katanya anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Uma Daro, Sungai Asap setelah menerima maklumat terus ke lokasi sementara menunggu ketibaan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Belaga.


“Komander operasi melaporkan kebakaran sebuah blok bangunan dua tingkat yang menempatkan lapan gerai makanan dan pejabat SEB telah musnah dalam kebakaran berkenaan.

“Pasukan bomba segera membuat kerja-kerja peringkat overhoul sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. ― DayakDaily