Sasaran 90 peratus kawasan di Sarawak diliputi rangkaian Internet pada tahun 2022 — Abang Johari

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (file pic)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Sept: Sarawak menyasarkan lebih 90 peratus kawasan di negeri ini disediakan dengan jaringan Internet berkelajuan tinggi pada tahun 2022.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan dilaksanakan menerusi pendekatan ‘Sarawak Multimedia Authority Linking Urban, Rural and Nation’ (Saluran).


“Kita akan meningkatkan kelajuan Internet dan akses kepada seluruh kawasan sama ada di bandar dan luar bandar.

“Sasaran kita ialah pada tahun 2022, setidak-tidaknya kita dapat meliputi kawasan lebih kurang 90 peratus yang dijaringkan dengan Internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Abang Johari berkata rangkaian Internet adalah amat penting untuk mendapatkan maklumat khususnya dalam menyediakan perkhidmatan.

Katanya, data seperti pembangunan bandar, kegunaan tanah dan kualiti tanah sangat diperlukan dalam melaksanakan kegiatan ekonomi di atas tanah tersebut.

“Kegiatan pertanian dan pembangunan hartanah adalah dua aktiviti yang sering berlawanan dalam sudut penggunaan tanah.

“Dalam keadaan ini, maka hendaklah kita mendapatkan maklumat yang cepat dan tepat.

“Oleh itu kerajaan kita sekarang sedang melaksanakan untuk menaikkan taraf liputan Internet dan pendekatan kita ialah melalui Saluran,” ujar beliau.

Terdahulu, Pengarah Tanah Dan Survei Abdullah Julaihi dalam ucapannya berkata, secara kumulatif sehingga 31 Ogos 2021 seluas 999,853 hektar telah siap diukur perimeter.

Katanya, daripada jumlah tersebut seluas 776,226 hektar telah pun diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

“Pada masa yang sama seluas 55,970 hektar telah pun siap diukur individu.

“Usaha ini adalah usaha berterusan sebagai amanah yang perlu dipenuhi disamping tugas-tugas lain melibatkan penyediaan Skim Pembesaran Kampung, Skim Penempatan Semula dan, infrastruktur asas, jalan raya, jambatan, jaringan menara telekomunikasi dan lain-lain,” kata Abdullah.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut melancarkan Kompilasi Piktorial Sedekad Menggagahi Pengukuran NCR Inisiatif Baharu (2010-2020).

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion. — DayakDaily