Sasaran 5 juta kehadiran pelancong masih relevan — Abdul Karim

Karim (dua kanan) pada sidang media.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Okt: Sasaran untuk mencapai 5 juta pelancong ke Sarawak pada tahun ini masih lagi relevan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keyakinan itu berdasarkan peningkatan kehadiran pelancong sehingga bulan September.

Advertisement

“Sehingga bulan September 2019, jumlah kehadiran pelancong mencapai 3.4 juta dan ini menunjukan peningkatan 4.24 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Kita yakin mampu melepasi angka 4 juta pelancong di penghujung tahun ini dan jika bernasib baik, kehadiran 5 juta pelancong yang menjadi sasaran beberapa tahun lepas boleh dicapai,” katanya pada sidang media acara ‘Sitok Kuching’ di Bangunan Mahkamah Lama di sini, hari ini.

Di samping itu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan percaya jumlah pelancong akan meningkat pada bulan Oktober, November dan Disember dibandingkan dengan bulan-bulan yang lepas kerana penganjuran pelbagai acara.

“Hampir setiap minggu sehingga penghujung tahun ini pelbagai acara akan dianjurkan. Kita ada perlumbaan Spartan, perlumbaan perahu naga antarabangsa pada penghujung Oktober, pertandingan master dunia badminton juga pada bulan ini.

“Regatta Sarawak juga akan dianjurkan pada November dan sukan atletik dunia bakal menghimpunkan 2,000 atlit pada Disember di Kuching,” ujar Abdul Karim.

Kempen Melawat Sarawak 2019 memberi tumpuan pada eko-pengembaraan berdasarkan segmen produk Sarawak yang berkisar kepada budaya, pengembaraan, alam sekitar, makanan dan festival.

Pada tahun lalu, Sarawak menerima kehadiran 4.43 juta pelawat dengan menjana pendapatan sebanyak RM7.95 bilion. — DayakDaily

Advertisement