KMKK Kawasan Tupong tolak dan bantah sekerasnya penubuhan MPKK

Rashidi (duduk tengah) bercakap dalam sidang media di Kuching.

KUCHING, Okt 16: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan Tupong menolak sekeras-kerasnya dan membantah penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Pemanca Rashidi Junai yang mewakili suara kira-kira 41 orang KMKK di kawasan berkenaan menegaskan, kehadiran MPKK hanya akan menyebabkan perpaduan dalam kalangan masyarakat akar umbi tergugat.

Tegasnya, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada masih relevan di peringkat pentadiran akar umbi.


“Bayangkan ada dua kapal dan dua kapten yang mengendalikan satu kapal, situasi itu pasti akan menyebabkan ketidaksefahaman hingga boleh mengakibatkan kapal itu karam,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rashidi menambah, KMKK bukannya mewakili suara politik tetapi mewakili suara penduduk di kawasan masing-masing yang tidak mahu adanya perpecahan dalam kalangan mereka.

“Ini kerana perpaduan bagi kita adalah suatu yang sangat berharga dan kita tidak mahu disentuh sama sekali dan tujuan MPKK ini diwujudkan kita tahu iaitu bertujuan politik,” tegasnya. — DayakDaily