Sasaran 4 pingat emas dalam acara ‘ten-pin bowling’ di Para Sukma Johor

Fatimah (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta Karnival Boling PBA Sarawak 2020.
Advertisement

KUCHING, 11 Okt: Sarawak mensasarkan sekurangnya empat pingat emas dari 17 acara ‘ten-pin bowling’ yang akan dipertandingkan dalam temasya sukan Para Sukma Johor 2020 dari 6 hingga 14 Mac 2021.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan sasaran tersebut kerana pada Para Sukma 2018 di Ipoh sebelum ini, Sarawak mampu mendapat sebanyak empat pingat emas dalam acara itu.

“Sebelum ini (Sarawak menang) empat pingat emas dan kita berharap kita tidak boleh kurang daripada empat pingat emas (dari acara ‘ten-pin bowling’ Para Sukma Johor 2020),” katanya ketika Majlis Penyampaian Hadiah Karnival Boling PBA Sarawak 2020 yang disertai atlet para Sarawak dan orang ramai di Megalanes E-Mart, Batu Kawa, di sini, hari ini.

Advertisement

Pada Para Sukma 2018 sebelum ini di Ipoh, Perak, atlet ‘ten-pin bowling’ para Sarawak memperolehi sebanyak empat pingat emas, lima pingat perak dan lima pingat gangsa dalam 19 acara ‘ten-pin bowling’.

Manakala bagi Para Sukma Johor 2020, Sarawak akan menghantar seramai 20 atlet yang akan bertanding dalam 17 acara ‘ten-pin bowling’ bagi mengejar sasaran mendapat sekurangnya empat pingat emas dari acara itu.

Selain itu, berikutan Para Sukma Johor tinggal 145 hari lagi, Fatimah mengingatkan atlet ‘ten-pin bowling’ para Sarawak yang sedang giat berlatih tiga kali seminggu sejak Jun lepas di Megalanes E-Mart, Batu Kawa untuk sentiasa menjaga pergaulan dan mematuhi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) Covid-19 di mana sahaja.

“Kita tidak mahu kita (atlet ‘ten-pin bowling’ para Sarawak) sudah giat berlatih dan sebagainya tetapi tiba-tiba kita terpaksa kena kuarantin ataupun menjadi tidak sihat (ketika Para Sukma Johor),” katanya.

Selain itu, beliau juga mengumumkan pihaknya akan mengadakan kem akhir bagi atlet para Sarawak bagi acara ‘ten-pin bowling’ dan sembilan acara sukan lain Para Sukma Johor pada hujung Febuari 2021 dan para atlet akan berangkat ke Johor pada awal Mac 2021. — DayakDaily

Advertisement