This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 2 Ogos: Sarawak mengwujudkan ladang dan pusat pemprosesan buluh secara komersial untuk menghasilkan produk nilai tambah tinggi.
Menurut Pengurusan Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah, ia bakal direalisasi menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) selama dua tahun di antara PUSAKA dan Rich Venture Plantation Sdn Bhd.
“Objektif perjanjian tersebut adalah untuk mewujudkan ladang dan pusat pemprosesan buluh secara komersial.
“Ia seterusnya untuk menghasilkan produk nilai tambah tinggi seperti produk biomas, arang buluh dan produk pembungkusan makanan,” katanya dalam ucapan di Majlis Menandatangani MoU tersebut di Kuching hari ini.
Menerusi MoU itu, PUSAKA akan bertanggungjawab dalam menyediakan konsultasi teknikal serta membekalkan anak benih buluh yang berkualiti kepada Rich Venture Plantation Sdn Bhd.
Manakala, Rich Venture Plantation Sdn Bhd akan menyediakan kawasan yang sesuai untuk tujuan penanaman buluh, menyediakan tenaga kerja dan prasarana yang berkaitan bagi menjayakan operasi tersebut.
Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman ini disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
PUSAKA diwakili mantan Pengurus Besar Datu Hashim Bojet manakala Rich Venture Plantation Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan Dato Hii King Chiong.
Dalam pada itu, Hii dalam ucapannya berkata pokok buluh boleh ditebang dalam tempoh 3 hingga 5 tahun.
Katanya, industri buluh telah berkembang di banyak negara dan menghasilkan pulangan lumayan.
“Penanaman pokok buluh di Sarawak menjanjikan masa depan yang cerah disebabkan permintaan tinggi dari negara luar,” kata Hii. — DayakDaily