KUCHING, 29 Julai: Sarawak Volunteers dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menawarkan inisiatif bantuan kepada para pelajar Sarawak yang akan mendaftar ke pusat-pusat matrikulasi.
Inisiatif khusus untuk mereka yang memerlukan bantuan pengangkutan darat ke kolej masing-masing.
Sekretariat Sarawak Volunteers menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ia melibatkan pusat matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia dan Labuan.
“Inisiatif ini ditawarkan memandangkan terdapat ibu bapa atau penjaga yang tidak dapat menghantar anak-anak mereka untuk mendaftar.
“Ini akibat kekangan semasa seperti perlunya mereka menjalani kuarantin wajib di Sarawak sekembalinya dari luar Semenanjung Malaysia, Sabah atau Labuan,” menurut kenyataan itu.
Menurut Sekretariat Sarawak Volunteers, inisiatif ini terbuka untuk semua Anak Sarawak yang akan mendaftar sendiri tanpa ditemani ibu bapa atau penjaga.
Antara syarat lain, tiket penerbangan diurus dan ditanggung sendiri oleh pelajar.
“Sarawak Volunteers akan menyediakan pengangkutan dari lapangan terbang semasa ketibaan ke hotel penginapan (jika perlu) dan ke kolej masing-masing pada hari pendaftaran.”
Sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan Sekretariat Sarawak Volunteers dengan menghubungi Nazmi 013 571 7130, Eja (014 698 3771) dan Khatijah (012 847 7447).
Pelajar boleh mendaftar melalui pautan https://bit.ly/2X5iqUh dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 1 Ogos 2020, jam 12 tengah hari. — DayakDaily