Sarawak tuan rumah sirkit kejohanan angkat berat kebangsaan bermula Jun 23-28 ini

Gerald (duduk tengah) bersama Dr Ong (duduk kiri) dan Leonard (duduk kanan) di sidang media Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Kuching hari ini (Jun 19, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING Jun 19: Sarawak akan menjadi tuan rumah sirkit 1 Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan (Junior dan Senior) 2019 bermula Jun 23 hingga 28.

Menurut Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Gerald Rentap, kejohanan bakal disertai 126 atlit yang mewakili 15 pasukan.


Kejohanan bakal berlangsung di Spring Shopping Mall di Kuching dan akan dirasmikan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan pada Jun 24.

“Ini adalah persiapan untuk setiap pasukan bagi menghadapi sukan Sukma yang akan datang walaupun angkat berat belum diputuskan untuk dipertandingkan pada sukan tersebut,” kata Gerald.

Beliau berkata demikian di sidang media yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee di Stadium Sarawak hari ini.

Gerald yang juga Presiden Persekutuan Angkat Berat Negeri Sarawak (PABNS) menambah usaha sedang giat dilakukan untuk memastikan sukan angkat berat dipertandingkan pada Sukma 2020 di Johor Bahru.

Lima belas pasukan yang bertanding pada kejohanan sirkit 1 di Kuching ialah Sarawak, Sabah, Johor, Pahang, ATM, PDRM, Perak, Selangor, Terengganu, Kedah, Perlis, Putra Jaya, Majlis Sukan Negara, Kelantan dan Pulau Pinang.

Sirkit kedua kejohana yang sama akan diadakan di Johor dan sirkit ketiga di Sabah iaitu pada bulan Disember 2019.

Untuk kontinjen Sarawak kali ini, Gerald memaklumkan yang 8 atlit wanita dan 8 atlit lelaki akan mengambil bahagian.

Dua acara iaitu ‘snatch’ dan ‘clean and jerk’ akan dipertandingkan untuk 10 kategori berat badan lelaki dan juga wanita.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Bendahari PABNS Leonard Jambu. — DayakDaily