Adat ngiling tikai perlu dikekalkan dan diwarisi, kata MP Lubok Antu

Jugah (dua dari kanan) bersama yang lain menyempurnakan acara ngiling tikai RPR Taman Perumahan Engkelili.

KUCHING, Jun 19: Adat resam ‘ngiling tikai’ atau ‘bidai’ iaitu salah satu acara penutup sambutan perayaan Gawai perlu diwarisi.

Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang berkata acara tersebut adalah unik dan perlu dikekalkan oleh generasi akan datang.

“Walaupun acara ini tidaklah sebesar mana, tetapi objektif penganjurannya amat bermakna kepada kita khususnya kepada generasi baharu yang lahir dalam komuniti Dayak,”kata beliau.

Jugah berkata demikian di Majlis Ngiling Bidai anjuran Taman Perumahan RPR Engkelili baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau mahu budaya ini terus dikekalkan dan generasi baharu mesti mempertingkatkan pengetahuan mereka berkenaan adat dan budaya Iban.

Bersempena dengan Majlis Ngiling Bidai itu, Jugah turut menyumbangkan geran sebanyak RM68,000 kepada RPR Taman Perumahan Engkelili.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat digunakan untuk membaikpulih rumah yang rosak dan membangunkan persekitaran seterusnya memberi manfaat kepada penduduk di taman berkenaan.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi, Pegawai Bomba Gemong Batu, Penghulu Su Yong dan Penghulu Deri serta tuai-tuai rumah yang berdekatan. — DayakDaily