Sarawak tingkatkan kesiapsagaan hadapi banjir — Fatimah

Fatimah (tiga kanan) pada lawatan ke pusat Pemindahan Sementara Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut.
Advertisement

KUCHING, 30 Dis: Sarawak bersedia menghadapi bencana banjir berikutan perubahan cuaca yang dijangka berlaku bulan hadapan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, semua pihak yang terlibat di dalam pengurusan bencana banjir kini telah berada di gear tiga.

“Kita menjangkakan hujan signifikan yang boleh mengakibatkan berlakunya banjir pada bulan hadapan, sekarang kita di gear dua, maka minggu hadapan kita mesti di gear tiga.

Advertisement

“Justeru, kesiapsagaan jentera pengurusan bencana termasuk pusat pemindahan sementara dan pengkalan hadapan kini telah bersedia,” katanya pada sidang media di Dewan Sinaran Kampung Sungai Lumut di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah memaklumkan terdapat 627 pusat pemindahan dan 29 pengkalan hadapan di seluruh negeri.

Menurut beliau, pengkalan hadapan adalah terletak di kawasan luar bandar yang memberikan perlindungan kepada mangsa banjir.

“Kita akan memastikan semua pusat pemindahan sementara dilengkapi dengan semua keperluan asas dan selesa didiami mangsa banjir.

“Pengkalan hadapan banjir juga dipastikan mempunyai cukup bekalan makanan,” ujar Fatimah. — DayakDaily

Advertisement