Sarawak tidak failkan kes Mahkamah Tinggi, terus kuatkuasa OMO 1958 pada Julai 1

Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

KUCHING, Jun 28: Kerajaan negeri Sarawak tidak bercadang untuk memfailkan kes tuntutan hak pemilikan minyak dan gas ke Mahkamah Tinggi.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, sebaliknya kerajaan negeri ini akan menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 pada Julai 1 ini.

Tegasnya, kerajaan negeri telah mengkaji secara terperinci berhubung perkara itu sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Kita tidak perlu mengikut cadangan Ketua DAP Sarawak (Chong Chieng Jen) kerana apa-apa keputusan yang dibuat merupakan ketetapan yang diputuskan oleh kerajaan negeri.

“Adalah memadai apabila Mahkamah Persekutuan telah menolak permohanan Petronas untuk menuntut pengisytiharan syarikat minyak negara itu adalah pemilik eksklusif sumber petroleum negara ini termasuk di Sarawak,” katanya.

Sharifah Hasidah menambah, PDA dan OMO bukan perundangan yang bercanggah, namun sebaliknya ia boleh dirujuk bersama.

“Ketika ini Petronas masih dibenarkan beroperasi di Sarawak, namun perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Sarawak,” ujarnya lagi.

Pada Jun 22 lalu, kerajaan negeri Sarawak berkata akan menguatkuasakan undang-undang dalam mengawal selia berkaitan aktiviti minyak dan gas di perairan negeri itu pada 1 Julai 1 ini.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam satu kenyataan media berkata, penguatkuasaan undang-undang berkaitan aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu akan dilaksanakan seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

Kata kenyataaan itu, keputusan itu diputuskan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak untuk mendapat perisytiharan bahawa PDA 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di Sarawak.

Manakala pada Jun 4 lepas, Petronas telah memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan, memohon perisytiharan bahawa PDA 1974 terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak. — DayakDaily