This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 28 Jun: Sarawak serius untuk mengambil alih syarikat penerbangan MASwings, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut beliau, tawaran oleh kerajaan pusat bagi pengambilalihan tersebut mampu mengembangkan perhubungan udara di Negeri ini.
“Kita baru bermula dan kita ada rancangan besar. Oleh sebab itu kita mahu ada syarikat penerbangan sendiri.
“Destinasi kita nanti mungkin melibatkan bandar-bandar di Kalimantan dan sudah tentu memerlukan permit mendarat.
“Kita akan meneliti tawaran dengan serius, dan sudah tentu kita memerlukan permit yang di miliki MASwings, bukan liabiliti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Kuching Umrah Gateway (KUG) di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, syarikat Hornbill Skyways akan menguruskan penerbangan baharu itu nanti setelah proses pengambilalihan di muktamad.
Setakat ini, Hornbill Skyways hanya beroperasi di Sarawak sahaja, iaitu ke kawasan pendalaman.
“Sekarang tiba masanya kita mengembangkan perhubungan udara, kita memerlukan syarikat penerbangan yang sudah memiliki lesen,” kata Abdul Karim. — DayakDaily