Sarawak sedia cadangan, langkah ambil alih Pelabuhan Bintulu

Uggah pada Lawatan Kerja Pemantauan Projek Infrastruktur di Rumah Stanly Lunyong di Kuala Serupai. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 30 Okt: Kerajaan Sarawak kini berada di fasa penyediaan cadangan bagi mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Uggah berkata, ia adalah susulan kerajaan persekutuan telah bersetuju secara prinsip mengembalikan autonomi Pelabuhan Bintulu kepada negeri ini.

“Seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan timbalannya, secara prinsip kerajaan persekutuan telah bersetuju.

Advertisement

“Cuma pada masa sekarang kita menyediakan apakah cadangan-cadangan terperinci yang akan kita kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan yang menjadi langkah untuk kita mengambil alih Pelabuhan Bintulu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Lawatan Kerja Pemantauan Projek Infrastruktur di Rumah Stanly Lunyong di Kuala Serupai di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, projek Jambatan Jepak dijangka siap pada Oktober 2024.

Jelasnya projek yang kini mendahului jadual bakal mengubah landskap pembangunan Bandar Bintulu selain memendekkan jarak perjalanan dari bandar itu ke Lapangan Terbang Bintulu.

“Kita telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga kontraktor bagaimana kita hendak mengurus masalah berkaitan bahan binaan dan tenaga kerja.

“Jika masalah ini dapat kita atasi, saya yakin projek ini dapat disiapkan pada Oktober 2024,” tambahnya. — DayakDaily

Advertisement