Sarawak sasar bebas rabies menjelang 2025

Dr Rundi (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara Adrian (kanan) dan Gracie.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Mac: Sarawak menetapkan sasaran bebas daripada wabak rabies atau penyakit anjing gila menjelang tahun 2025.

Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sasaran tersebut adalah lima tahun lebih awal daripada badan dunia yang meletakkan sasaran bebas rabies pada 2030.


“Ancaman wabak rabies adalah sesuatu yang kita tidak boleh ambil mudah, mengawalnya adalah sangat penting.

“Daripada jumlah kes yang dilaporkan, hampir 90 peratus membawa maut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Dr Rundi menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Veteriner Sarawak (JVS) dan Place Borneo Sdn Bhd bagi penganjuran Persidangan Rabies Borneo 2022 pada 4 hingga 5 April depan.

Menurut Dr Rundi lagi, wabak rabies boleh dicegah dengan pemberian vaksin terhadap haiwan peliharaan khususnya anjing.

Seterusnya tegas beliau, pemantauan rapi dari semasa ke semasa harus dilakukan terhadap haiwan peliharaan.

“Sebahagian daripada tindakan yang harus dilaksanakan ialah memantapkan kerjasama dengan negeri jiran seperti Sabah, Brunei dan Kalimantan.

“Kita berkongsi maklumat selain mengawal sempadan dengan rapi kerana pergerakan rentas sempadan haiwan juga boleh membawa penularan wabak,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Rundi berkata sebanyak 45 kes rabies dengan 42 kematian telah dilaporkan di negeri ini sejak 2017.

Hadir sama Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, Pengarah JVS Dr Adrian Susin dan Ketua Konsultan Place Borneo Sdn Bhd Gracie Geikie. — DayakDaily