KPDNHEP tumpas aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejumlah 40,390 liter

Tangki tambahan bagi tujuan mengisi minyak diesel bersubsidi ditemui di ruangan muatan lori.

KUCHING, 21 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita sejumlah 40,390 liter minyak diesel bersubsidi menerusi serbuan di dua lokasi di Selangor pada 18 Mac lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Azman Adam berkata, dua buah lori termasuk beberapa unit saluran paip getah, tiga buah compressor, dua buah telefon bimbit dan satu set dekoder CCTV dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM207,830 turut dirampas.

“Ketika serbuan ke atas stesen minyak tersebut, terdapat sebuah lori sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di dua buah pam berasingan di stesen minyak berkenaan.


“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat dua buah tangki tambahan berbentuk empat segi di ruangan muatan lori terbabit yang disyaki minyak diesel telah ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azman, bahagian penguat kuasa melakukan serbuan serentak di sebuah lokasi berasingan iaitu sebuah premis tanpa nombor disyaki stor haram penyimpanan minyak diesel yang tidak dilesenkan.

Ketika serbuan katanya, aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tiga buah tangki yang ditemukan di dalam kawasan tersebut sedang dilakukan.

“Pihak premis juga gagal mengemukakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.

“Dua individu lelaki warga tempatan masing-masing berumur 24 dan 35 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan di stesen minyak tersebut dan pekerja di stor haram berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan,” ujar Azman.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily