Sarawak sasar 1 pingat emas dari esports pada Sukma Johor

Snowdan (tengah) pada sesi perkongsian secara atas talian bersama komuniti esports di Facebook Page Sarawak E-Sports Association.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 7 Sept: Sarawak mensasarkan satu pingat emas dari sukan esport pada Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.
.
Menteri Muda Belia Dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, kategori esports pada temasya itu nanti menawarkan tiga pingat emas dan ia adalah sesuatu yang harus diberi perhatian.

“Walaupun ia adalah sukan baharu, kita memberi fokus kepada latihan dan selain latihan kita juga mesti tahu kepada peraturan pertandingan.

“Sasaran kita memang ada, untuk Sukma di Johor nanti kita sasarkan satu pingat emas dari esports,” katanya ketika ditemui di D-Virtual Park Kota Samarahan hari ini.

Menurut Snowdan, pada sukan itu nanti 18 peserta esports Sarawak akan mengambil bahagian dan kini mereka menjalani latihan di D-Virtual Park.

Katanya, tiga kategori dipertandingkan iaitu Mobile Legends, Dota 2 dan Pro-Evolution Soccer.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA) akan mengadakan pertandingan esports di Balai Ringin pada bulan Oktober ini.

Jelas Snowdan, SMK Dewan Balai Ringin yang dijadikan venue pertandingan boleh memuatkan sehingga 700 peserta dan bakal memberi peluang kepada para belia luar bandar untuk mengambil bahagian.

Terdahulu, Snowdan mengadakan sesi walkabout di sekitar D-Virtual Park dan seterusnya melawat di sekitar SESA Mini Reports Hub.

Beliau turut meluangkan masa bersama komuniti E-Sports Sarawak secara atas talian melalui live streaming di Facebook Page Sarawak E-Sports Association.

Antara perkongsian tersebut adalah membincangkan inisiatif memperkenalkan program E-Sports luar bandar, pelaksanaan bengkel berkonsepkan kerjaya dalam bidang E-Sports dan perancangan SESA Mini E-Sports Hub sebagai platform akedemi E-Sports di Sarawak.-DayakDaily.