Covid-19: 62 kes positif baharu, Kluster Sungai dikenal pasti di Kedah

Medicine and healthcare. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Sept: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 62 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 56 kes tempatan dan enam kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,459 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 207 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas Dr Noor Hisham, 56 kes tempatan adalah melibatkan 16 warganegara dan 40 bukan warganegara.

Manakala enam kes import pula melibatkan dua warganegara dan empat kes bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 128 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 9 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,124 kes atau 96.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat enam kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa satu kluster baharu dikenali sebagai Kluster Sungai telah dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di Kedah.

Katanya, kes indeks (Kes ke-9455) kluster ini merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut manakala kes kedua kluster ini (Kes ke-9456) merupakan anggota kesihatan di pusat yang sama.

“Kedua-dua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan.

“Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 7 September 2020, seramai 57 orang telah disaring.

“Daripada jumlah ini dua kes dikesan positif Covid-19 dan 55 individu masih menunggu keputusan,” kata Dr Noor Hisham.-DayakDaily