Sarawak raih lima emas dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024

Aksi petinju di Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024. Foto: TVS
Advertisement

KUCHING, 11 Mei: Barisan pentinju muda Sarawak tampil cemerlang dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2024 yang berakhir semalam selepas merangkul lima pingat emas bagi kategori umur Sukan Malaysia (SUKMA).

Menurut laporan TVS, skuad petinju lelaki memperolehi empat emas dan satu lagi disumbangkan oleh pasukan wanita.

Emas pertama Sarawak hadir menerusi Clarkson Evens Tom Frankie dalam kategori ‘minimumweight’ 46 hingga 48 kilogram (kg) selepas mudah menewaskan rakan sepasukan, Kennady Bilong Naga menerusi kiraan mata 5-0.

Advertisement

Malam gemilang Sarawak diteruskan oleh Wan Dhia Danish Wan Muhammad Resa yang menewaskan lawannya dari Sabah, Danial Wahyu juga dengan kiraan mata 5-0 dalam kategori ‘welter’ 67 kg.

Satu lagi emas hadir apabila Gideon Riquelme Jonathan hanya memerlukan satu pusingan untuk menewaskan lawannya dari Sabah, Ahmad Afiq Shonuddin selepas pengadil memberikan ‘refreee stop contest’ (RSC).

Aidih Haqidah Abdullah yang turun pada aksi terakhir dalam kategori ‘heavy’ 60 kg turut tidak menghampakan apabila menghadiahkan emas keempat dengan kemenangan selesa 5-0 mengatasi lawannya dari Sabah A, Azmeen Suhayl Ariffin.

Sementara itu, kem tinju wanita Sarawak juga tidak kurang hebatnya apabila menghadirkan satu kilauan emas dalam ketegori ‘minimumweight’ 46 hingga 48 kg menerusi Patricia Jaquilina.

Patricia turut cemerlang apabila dinobatkan sebagai petinju terbaik kejohanan dalam kategori umur SUKMA. — DayakDaily

Advertisement