Sarawak perlukan RM19 billion bagi liputan penuh bekalan air – Julaihi

Datuk Julaihi Narawi. — Photo credit: Sarawak Public Communications Unit (Ukas)

KUCHING, 25 Feb: Sarawak memerlukan peruntukan lebih besar daripada kerajaan persekutuan untuk pembangunan utiliti.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk mencapai liputan penuh bekalan air adalah sebanyak RM19 billion.

Katanya, ini adalah memandangkan kawasan Sarawak adalah luas dengan bentuk muka bumi yang mencabar,


“Perdana Menteri melalui Ucapan Belanjawan 2023 semalam di mana Sarawak mendapat RM5.6 billion untuk peruntukan pembangunan.

“Walaubagaimanapun, hanya sejumlah RM2.5 billion dari jumlah keseluruhan RM12.1 billion untuk Sarawak dan Sabah, atau 20 peratus adalah untuk projek jalan, lampu jalan serta utiliti bekalan air dan elektrik di kedua-dua wilayah Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Julaihi, kadar liputan bekalan air di luar bandar Sarawak setakat ini hanya 67.2 peratus.

Oleh itu ujar beliau, jumlah peruntukan yang diumumkan untuk prasarana utiliti adalah tidak mencukupi untuk memenuhi hasrat Kerajaan Sarawak mencapai liputan penuh bekalan air menjelang 2030.

“Kita berharap peruntukan yang lebih besar dapat disalurkan kepada Sarawak,” katanya. — DayakDaily