Sarawak perlukan 20 balai Bomba baharu

Khirudin pada sidang media di Kuching hari ini.

KUCHING, 18 Jan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 20 balai baharu sebagai tambahan kepada 36 balai sedia ada.

Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, jumlah itu untuk menampung keperluan semasa khususnya di kawasan luar bandar.

“Ia bagi mencapai jumlah ideal untuk balai bomba di Sarawak sebagai tambahan kepada 36 balai sedia ada.


“Dengan jumlah sekurang-kurangnya 56 balai, ia akan memastikan pasukan Bomba dapat melaksanakan tugas dengan efisyen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Hero Bomba di Ibu Pejabat Bomba Sarawak hari ini.

Dalam pada itu tambah Khirudin, Sarawak pada bulan ini akan memiliki 3 balai baharu kategori D.

Tiga balai baharu tersebut adalah di Kidurong di Bintulu, Asajaya di Samarahan dan Lutong di Miri.

Bagi mencapai jumlah ideal jelas Khirudin, Bomba Sarawak berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi membina balai tambahan dengan pelbagai kaedah termasuk mendapatkan bantuan kerajaan Sarawak.

“Kaedah itu dilaksanakan dalam pembinaan sekolah dan hospital apabila kerajaan negeri Sarawak mendahulukan peruntukkan pembinaannya.

“Ini tidak mustahil kerana perlindungan kebakaran itu adalah dasar kerajaan kita,” katanya.

JPBM Sarawak juga katanya menggunakan khidmat Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Pasukan Bomba Komuniti dan melatih masyarakat pedalaman mengenai asas penyelamatan dan pencegahan kebakaran. — DayakDaily