Projek baik pulih ban Lubok Punggor bantu pengeluaran beras biris

Nancy (dua dari kiri) mendengar taklimat berhubung projek membaik pulih ban Lubok Punggor. Foto: Ukas

KUCHING, 18 Jan: Projek membaik pulih ban Lubok Punggor bagi kawasan penanaman padi bakal menghidupkan semula pengeluaran beras biris yang popular di kawasan Simunjan.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri berkata projek tersebut bernilai RM1,636,159 menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA).

Ujar Nancy, ia bagi membaiki ban pecah yang menyebabkan air bertakung dan menjejaskan kualiti penanaman padi.


Setelah projek berkenaan siap, katanya, ia akan membantu meningkatkan produktiviti tanaman padi di kawasan berjumlah 130 ekar.

“Namun, setakat ini kita lihat kawasan padi yang masih aktif adalah 90 ekar kerana ada kawasan yang tidak sesuai dan kita berharap penduduk di Lubok Punggor yang mempunyai tanah di kawasan ini boleh kembali menanam padi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Tapak Projek kepada pihak kontraktor di Kampung Lubok Punggor, Gedong semalam.

Nancy yang juga MP Batang Sadong menambah, projek baik pulih ban tersebut mengambil masa selama enam bulan dan dijangka siap pada bulan Julai 2022.

Dalam pada itu semalam, beliau turut melakukan lawatan ke kawasan Tangki Air Aras Tinggi Zon Pangkor.

Katanya, penduduk di kawasan tersebut kini dapat menikmati kemudahan bekalan air bersih menerusi Projek Bekalan Air Luar Bandar Kampung Lubok Punggor yang bernilai RM45 juta.

“Kita turut bersyukur kerana dapat melihat perkembangannya dari tiada hingga ke ada dan ini dapat membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya. — DayakDaily