Sarawak perlu tingkatkan jumlah anjing pengesan

Abdul Karim (duduk tengah) pada sidang media di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 31 Julai: Bilangan anjing pengesan (K9) yang ada di Sarawak perlu ditambah bagi mengawal kemasukan dadah ke negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman berkata, khidmat anjing pengesan ini diperlukan di sempadan-sempadan negeri dan di lapangan terbang.

Memahami ia melibatkan perbelanjaan yang tinggi, Kerajaan Sarawak kata Abdul Karim sedia menanggung kos tersebut.

Advertisement

“Kerajaan Sarawak ada membuat tawaran supaya jumlah anjing pengesan ini ditambah sekali gus bersedia untuk menanggung kos.

“Khidmat anjing pengesan ini diperlukan oleh pihak Polis, Kastam dan Bomba” katanya.

Abdul Karim berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2024, di Bangunan Baitulmakmur pada semalam.

Tambah Abdul Karim yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak, perbincangan di peringkat Kabinet berhubung perkara itu memang sudah mendapat kelulusan Kerajaan Sarawak.

Katanya, Sarawak boleh membeli anjing pengesan tetapi kita tidak dapat membayar penjaga anjing itu sampai tamat perkhidmatan.

“Kita ada banyak lapangan terbang bukan sahaja di Kuching tetapi Sibu, Miri, Bintulu melibatkan penerbangan dari luar.

“Perbatasan di Tebedu, Entikong dan lain-lain juga memerlukan khidmat anjing ini,” katanya. — DayakDaily

Advertisement