Oleh Chris Bishop
GEDONG, 10 Nov: Sarawak dilihat sebagai pemain utama dalam ekonomi hub Asia, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, ia berdasarkan usaha Sarawak dalam pembangunan tenaga hijau di Asia yang merangkumi China, Korea Selatan, Jepun dan Timur Jauh.
“Pada minggu lepas saya berada di Abu Dhabi sebagai ahli panel persidangan tenaga hijau, saya ditanya oleh media Asia mengenai peranan Sarawak.
“Jika dahulu tiada yang tanya kita, bermakna Sarawak pada hari ini berada dalam radar dunia.
“Kalaulah begini keadaannya, dunia telah melihat kita sebagai satu-satunya pemain penting dalam ekonomi dunia hub Asia,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian di Perhimpunan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong hari ini.
Selain itu, tambah Abang Johari, usaha Sarawak berubah kepada penggunaan hidrogen (tenaga hijau) telah mendapat pengiktirafan dunia.
“Saya di Abu Dhabi kerana hidrogen, di Rotterdam, di Bangkok kerana hidrogen, saya di Australia pun kerana hidrogen.
“Maknanya kita mempromosi penggunaan teknologi hidrogen,” ujarnya.
Dengan pengiktirafan itu, tambah Abang Johari, pemimpin-pemimpin PBB adalah setaraf dengan pemimpin di peringkat dunia.
Katanya, kepimpinan PBB adalah selari dengan apa yang berlaku di seluruh dunia.
“Ini adalah kerana kita melihat masa depan, melihat landskap ekonomi dunia akan berubah.
“Kita melihat bahawa keadaan pekerjaan akan berubah, kita melihat bahawa sumber yang kita ada hendaklah dibangunkan dengan teknologi,” ujar Abang Johari. — DayakDaily